Gigi jadi kuning biasanya kerana tiga sebab

Yang pertama ialah kotoran pada permukaan gigi: kopi, teh tarik, kari, kicap, rokok. Pewarna daripada makanan dan minuman ini melekat pada permukaan gigi dan karang gigi, sedikit demi sedikit dari tahun ke tahun. Inilah punca paling biasa, dan paling mudah diatasi.

Yang kedua ialah perubahan warna di dalam gigi: lama-kelamaan, molekul pewarna meresap masuk ke dalam lapisan enamel, tempat yang berus gigi memang tak sampai. Kalau gigi anda nampak kuning secara sekata (bukan bertompok), selalunya ini puncanya.

Yang ketiga ialah usia: enamel sebenarnya lapisan separa lutsinar berwarna putih pudar, dan dentin di bawahnya memang berwarna kuning. Enamel semakin menipis dengan usia, jadi warna kuning dentin semakin nampak. Gigi menjadi kuning bila umur meningkat adalah perkara normal, bukan tanda anda tak gosok gigi dengan betul.

Satu keadaan perlu diberi perhatian khas: sebatang gigi sahaja yang bertukar kelabu atau gelap, selalunya selepas terhantuk atau apabila saraf di dalamnya sudah mati. Itu bukan masalah pemutihan; datanglah buat pemeriksaan dulu.

Kenapa gigi masih kuning walaupun gosok setiap hari?

Sebab gosok gigi membuang plak dan sisa makanan. Ia tak boleh membuang pewarna yang sudah meresap ke dalam enamel, dan memang tak boleh mengubah warna asli dentin. Dengan kata lain, gigi kuning tak semestinya gigi kotor. Ada orang giginya kekuningan secara semula jadi tapi sihat sepenuhnya; ada pula yang giginya putih tapi penuh gigi berlubang. Warna dan kesihatan adalah dua perkara berbeza.

Ubat gigi whitening berkesan tak?

Setakat tertentu sahaja. Ubat gigi whitening menggunakan bahan pelelas ringan untuk menggosok kotoran baru pada permukaan gigi. Ia boleh melambatkan gigi peminum kopi daripada bertukar kuning, tapi tak boleh menjadikan gigi kuning putih semula, kerana ia langsung tak menyentuh warna di dalam gigi. Berhati-hati dengan produk yang terlalu kasar: pelelas yang kuat menghakis enamel sedikit demi sedikit, dan enamel yang nipis menampakkan lebih banyak warna kuning dentin di bawahnya, akhirnya gigi nampak lebih kuning.

Macam mana pula dengan baking soda, jus lemon dan oil pulling?

Jawapan jujur: jus lemon merosakkan gigi. Asid melembutkan dan melarutkan enamel: gigi mungkin nampak cerah seminggu dua, tapi lepas itu jadi lebih kuning dan lebih sensitif secara kekal. Baking soda berfungsi sama seperti ubat gigi whitening (pelelasan), jadi ia hanya mampu buang kotoran permukaan dan menghakis enamel kalau digunakan setiap hari. Oil pulling dengan minyak kelapa pula tiada bukti yang boleh dipercayai sebagai kaedah pemutihan. Panduan mudah: mana-mana petua yang janji “gigi putih dalam seminggu” sama ada tak berkesan langsung, atau sedang merosakkan enamel anda.

Jadi, apa yang betul-betul berkesan?

Bergantung pada jenis kekuningan gigi anda:

  • Kotoran kebanyakannya pada permukaan (kesan teh, rokok, karang gigi): satu sesi cuci gigi (scaling & polishing) selalunya mencerahkan lebih daripada yang anda sangka, dengan kos jauh lebih rendah daripada whitening. Kami sentiasa periksa perkara ini dulu.
  • Gigi kuning secara sekata dan anda mahu lebih cerah: pemutihan gigi profesional menggunakan gel berkepekatan terkawal untuk memecahkan pewarna di dalam enamel, dengan gusi dilindungi dan diawasi doktor gigi. Inilah satu-satunya cara bukan invasif untuk mengubah warna di dalam gigi.
  • Sebatang gigi kelabu, atau gigi depan dengan banyak tampalan: gel pemutih tak boleh mengubah warna bahan tampalan dan kurang berkesan untuk tona kelabu; veneer selalunya jawapan yang lebih baik.

Bila patut jumpa doktor gigi?

Kalau sebatang gigi sahaja yang menjadi gelap, kalau gigi kuning disertai rasa sensitif atau sakit, atau kalau anda tak pasti anda tergolong dalam kategori mana, datanglah buat pemeriksaan. Di Happy Tooth Dental Clinic, Puchong, kami akan beritahu anda dengan jujur: sama ada cuci gigi sahaja sudah memadai, whitening berbaloi untuk anda, atau kedua-duanya tak perlu. Memutihkan gigi yang ada lubang atau karang gigi hanya membazir duit dan merosakkan gigi.